Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata
yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu
seperti bidalan, pepatah, perumpamaan dan simpulan bahasa. Peribahasa memainkan
peranan yang penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya dalam kalangan
orang-orang Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat,
teguran, atau ingatan secara kiasan atau sindiran.
Pada hemat saya, dengan menggunakan peribahasa
banyak teguran, nasihat, dan sindiran dapat disampaikan tanpa menimbulkan rasa
marah atau kecil hati pada orang lain.
Peribahasa wujud apabila masyarakat Melayu
menyedari betapa susahnya untuk memberikan nasihat atau teguran secara
terus-terang kepada orang lain tanpa menyinggung perasaannya. Lantas, mereka
mula mengumpamakan sesuatu perkara dengan sesuatu yang lain agar maksud yang
ingin disampaikan dapat ditafsirkan oleh semua orang. Seringkali perkara yang
diumpamakan itu berkaitan secara langsung dengan anggota masyarakat dan alam
sekeliling mereka.
Umumnya, peribahasa
masih terus digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga hari ini.
Peribahasa dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti simpulan bahasa,
perbandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat. Antara
beberapa contoh peribahasa termasuklah “Carik-carik bulu ayam akhirnya
bercantum juga”, “Masa itu emas”, “Ibarat burung, mata lepas badan terkurung”,
“Bagai aur dengan tebing”, “Seperti api dalam sekam”, “Seperti anak ayam
kehilangan induk”, “Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”,
“Bahasa Jiwa Bangsa”, “Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi”, “Ukur baju
pada badan sendiri”, dan “Muafakat Membawa Berkat”.
Sesungguhnya
tujuan utama penciptaan peribahasa adalah untuk memberikan pengajaran kepada
masyarakat pada zaman dahulu kala. Selain itu, peribahasa berfungsi sebagai
pengawal sosial. Hal ini bermaksud masyarakat dahulu kala sering menegur
anggotanya dengan cara berkias ibarat melalui peribahasa. Dengan cara demikian,
orang yang ditegur tidak mudah tersinggung. Begitulah juga dengan pihak penegur
yang lazimnya terdiri daripada orang tua-tua, tidak akan berasa segan untuk
berbuat demikian apabila diperlukan. Misalnya, apabila seorang tua yang ingin
menegur sikap bebas anak gadisnya akan menggunakan peribahasa yang berbunyi
“takkanlah perigi yang mencari timba”. Dalam konteks lain pula, seorang guru
akan menasihati anak muridnya yang berasa malu untuk bertanya sesuatu dengan
menggunakan peribahasa ini, “malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu
hanyut”.
Sungguhpun kebanyakan peribahasa yang dicipta orang dahulu
kala masih benar dan sahih sehingga kini, namun terdapat sebilangan kecil
peribahasa tersebut yang tidak dapat diterima pakai lagi pada zaman teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) yang serba moden dan canggih ini.
Pada pendapat saya,
seboleh-bolehnya kita mengabaikan peribahasa-peribahasa tersebut yang
dimaksudkan itu. Beberapa contoh peribahasa yang sudah usang dan ketinggalan
zaman ialah seperti “Rezeki secupak tidak akan menjadi segantang”, “Biar mati
anak, jangan mati adat”, dan “Hutang darah dibayar darah”.
Pada pendapat saya, ketiga-tiga
contoh peribahasa yang dikemukakan di atas tidak dapat diterima pakai lagi kini
kerana beberapa alasan seperti yang diterangkan di sini. Contoh peribahasa yang
pertama jika diamalkan bukan saja dapat mematikan semangat juang seseorang
individu malah akan menjadikannya seorang yang tidak menginginkan kemajuan.
Sekiranya seluruh masyarakat berpegang pada fahaman sedemikian, selama itulah
masyarakat tersebut akan berada di takuk lama kerana tiada kemajuan yang dapat
dicapai.
Sementara peribahasa yang kedua
lebih mementingkan adat daripada anak sendiri. Dalam konteks ini, masyarakat
dahulu kala mementingkan kelompok daripada individu. Namun pada dewasa ini,
para ibu bapa tidak sanggup lagi mengorbankan anak sendiri semata-mata untuk
mempertahankan adat masyarakat. Sebaliknya, anaklah yang diutamakan daripada
segala-galanya. Itulah nilai masyarakat hari ini.
Peribahasa yang ketiga pula
tidak harus dipraktikkan kerana mendorong keluarga mangsa bertindak balas
terhadap pembunuhnya. Sekiranya hal sedemikian dilakukan, masyarakat akan
menjadi tidak tenteram. Pada masa sekarang kita mempunyai pasukan polis dan
badan kehakiman, jadi biarlah mereka yang menjalankan siasatan terhadap
sebarang jenayah dan manjatuhkan hukuman ke atas pesalah.
Kesimpulannya,
peribahasa-peribahasa yang sudah usang dan tidak relevan dengan suasana
masyarakat pada hari ini tidak seharusnya diamalkan lagi demi kesejahteraan
masyarakat.